Thursday, April 9, 2009

KONSPIRASI SYI’AH DALAM PERISTIWA KARBALA

Oleh Mohd Yaakub Mohd Yunus

Apabila membicarakan tentang Hari Ashura yang jatuh pada tanggal 10 Muharam setiap tahun maka kita tidak dapat menghindarkan diri dari memperkatakan tentang peritiwa Karbala yang begitu menyayat hati. Peristiwa tersebut merupakan kisah di mana Saidina Hussain r.h yang merupakan cucunda Rasulullah s.a.w dan juga anak kepada Saidina Ali r.h telah dibunuh dengan kejam di sebuah tempat yang bernama Karbala di Iraq. Rentetan dari peristiwa ini terdapat upacara-upacara khas yang dianjurkan pada Hari Asyura dengan cara yang amat bertentangan dengan syarak. Malah kelompok Syiah juga telah mempergunakan peristiwa Karbala ini demi untuk meraih simpati umat Islam kepada kelompok mereka seolah-olah mereka ingin menggambarkan bahawa merekalah satu-satunya kelompok yang membela Ahlul Bait [keluarga Rasulullah]. Melalui makalah ini penulis akan membentangkan kisah sebenar disebalik pembunuhan Saidina Hussain di Karbala.

PERISTIWA KARBALA

Apabila Mu’wiyyah r.a meninggal dunia maka anaknya Yazid bin Mu’awiyyah r.h telah diangkat menjadi penggantinya. Perlantikan Yazid ini telah dipersetujui [bai’ah] oleh majoriti para sahabat Nabi yang masih hidup termasuk para Ahlul Bait serta masyarakat Islam. Namun begitu penduduk Kufah yang rata-ratanya berfahaman Syiah telah menolak kepimpinan Yazid dan ingin melantik Saidina Hussain sebagai khalifah yang baru. Lalu penduduk Kufah termasuk tokoh-tokoh Syiah menulis surat kepada Saidina Hussain menjemput beliau ke Kufah untuk tujuan tersebut. Mereka bukan sekadar berjanji akan taat setia kepada kepimpinan Saidina Hussain malah mereka sanggup untuk menghunus senjata demi membela beliau serta menjatuhkan kerajaan Bani Umaiyah pimpinan Khalifah Yazid. Mendengarkan sokongan yang padu dari penduduk Kufah maka beliau mengutuskan Muslim bin ‘Aqil untuk meninjau keadaan sebenar di Kufah. Saidina Hussain memaklumkan khabar berita ini serta niat beliau untuk ke Kufah kepada para sahabat serta ahli keluarga beliau bagi mendengar pandangan mereka. Namun demikian para sahabat terkemuka serta ahli keluarganya seperti ‘Abdullah Ibnu Abbas, Muhammad bin al-Hanafiyah, ‘Abdul Rahman bin Hisyam al-Makhzumi, ‘Abdullah bin Jaafar bin Abi Talib, Abdullah bin Muti’ al-Afdawi, ‘Amru bin Sa’id, ‘Abdullah bin ‘Umar, Abu Sa’id al-Khudri dan lain-lain telah menentang niat Saidina Hussain tersebut. Mari kita lihat beberapa ungkapan kata-kata mereka terhadap Saidina Hussain.

‘Abdullah bin Abbas r.a berkata: “Wahai sepupuku bagaimana anda boleh bersabar sedangkan saya tidak boleh bersabar. Saya bimbang anda akan binasa jika anda meneruskan hasrat anda itu. Penduduk Iraq adalah orang-orang yang suka memungkiri janji. Janganlah anda terpedaya dengan pujukan mereka.” – Dinukil dari buku Kesalahan-Kesalahan Terhadap Fakta-Fakta Sejarah Yang Perlu Diperbetulkan Semula karya Prof. Dr. Ibrahim Ali Sya’wat, diterjemahkan oleh Dr Basri Ibrahim, terbitan Jahabersa, cetakan 2005 Kuala Lumpur, ms. 208.

‘Abdullah bin Jaafar bin Abi Talib pernah menulis kepada Saidina Hussain sepucuk surat. Antara kandungan surat tersebut ialah:

“Saya sangat mengharapkan agar anda benar-benar merenung isi kandungan surat ini. Saya sebenarnya amat kasihan dengan anda kerana bimbang kalau-kalau anda akan binasa dan keluarga anda pula akan terhapus. Jika sekiranya anda binasa hari ini, akan padamlah cahaya bumi. Anda adalah salah seorang tokoh yang menjadi ikutan masyarakat dan harapan orang-orang mukmin. Janganlah anda tergesa-gesa bertolak ke Iraq. – Di nukil dari buku Kesalahan-Kesalahan Terhadap Fakta-Fakta Sejarah Yang Perlu Diperbetulkan Semula karya Prof. Dr. Ibrahim Ali Sya’wat, ms. 209.

‘Abdullah bin Jaafar bukan sekadar menghantar surat bertujuan untuk menghalang Saidina Hussain dari meneruskan rancangannya untuk ke Kufah, malah beliau juga telah meminta ‘Amru bin Sa’id, Gabenor Khalifah Yazid di Makkah untuk memujuk Saidina Hussain agar membatalkan hasratnya tersebut. Namun begitu Saidina Hussain tetap berkeras untuk berangkat ke Kufah. Mungkin timbul persoalan di benak hati para pembaca tentang kenapa para sahabat serta ahli keluarganya membantah niat beliau untuk ke Kufah. Maka di sini penulis senaraikan beberapa sebab berkaitan dengan bantahan tersebut:

1) Mereka dapat menghidu helah golongan Syiah di Kufah yang sememangnya terkenal dengan pengkhianatan mereka terhadap Umat Islam. Mereka inilah kelompok yang telah menyokong ‘Abdullah Ibnu Saba’, terlibat dalam pembunuhan ‘Uthman bin ‘Affan r.a, mengkhianati Saidina ‘Ali serta abang Saidina Hussain yakni Saidina Hassan r.a. Mereka berpandangan sokongan kuat yang menurut khabarnya datang dari penduduk Kufah hanyalah palsu dan tindakan mereka ini merupakan dalih mereka untuk menimbulkan susana kacau-bilau di dalam masyarakat Islam.

2) Yazid bin Mu’awiyyah adalah seorang khalifah yang telah dibai’ah oleh majoriti umat Islam, dikalangan para sahabat-sahabat utama dan juga ahli keluarga Rasulullah s.a.w.. Maka dari sisi syarak perlantikan beliau sebagai khalifah adalah sah. Terdapat larangan dari Rasulullah s.a.w. untuk memberontak terhadap pemerintah yang telah dilantik umat Islam secara sah.

Daripada ‘Abdullah bin ‘Amr bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

Sesiapa telah mengangkat [telah bersetuju melantik] seorang pemimpin kemudian memberikan kepadanya uluran tangannya dan buah hatinya [sebagai tanda persetujuan], maka hendaklah dia [orang yang mengangkatnya] mentaatinya sedaya mungkin. Maka jika datang orang lain yang menentangnya, hendaklah mereka membunuh yang terakhir[penentang].
Aku [‘Abdul Rahman bin ‘Abdi Rabbil Kaabah] bertanya [kepada ‘Abdullah bin ‘Amr]: Apakah kamu mendengar ini dari Rasulullah s.a.w.?
Dia [‘Abdullah bin ‘Amr] menjawab: Aku mendengar [hadis ini] dengan kedua telingaku dan difahami oleh hatiku. – Hadis Riwayat Imam Abu Dawud, no: 3707.

Ada pula yang beranggap bahawa Khalifah Yazid tidak memiliki ciri-ciri kepimpinan yang baik serta beberapa tuduhan tentang sifat-sifat buruk juga telah dilemparkan terhadapnya. Jika tuduhan ini benar sekalipun Rasulullah s.a.w. telah memerintahkan umatnya untuk tetap taat kepada pemerintah yang pada zahirnya masih Islam walaupun dia seorang yang zalim. Sabda Rasulullah s.a.w:


Pemimpin yang baik ialah pemimpin yang kamu cintai mereka dan mereka mencintai kamu. Kamu mendoakan mereka, mereka pula mendoakan kamu. Pemimpin yang jahat ialah pemimpin yang kamu membenci mereka, mereka juga membenci kamu dan kamu melaknat mereka, mereka juga melaknat kamu.
Baginda ditanya: “Tidak bolehkah kami perangi mereka dengan pedang?”
Jawab Baginda: “Tidak, selagi mana mereka mendirikan solat. Ingatlah, sesiapa yang dikuasai penguasa, lalu dia dapati penguasa itu melakukan maksiat kepada ALLAH, dia hendaklah membenci maksiat tersebut namun jangan mencabut tangan dari ketaatan.” - Hadis riwayat Imam Muslim no. 1855.

Oleh itu mereka membantah niat Saidina Hussain untuk menyertai malah mengepalai pemberontakan penduduk Kufah tersebut

3) Mereka juga khuatir tindakan Saidina Hussain ini akan menimbulkan pertumpahan darah sesama umat Islam dan akan melemahkan persatuan umat.

4) Mereka bimbang akan keselamatan Saidina Hussain dan ahli keluarganya yang berkemungkinan akan dkhianati oleh penduduk Kufah atau diserang oleh tentera Khalifah Yazid.

Ternyata pujuk rayu mereka gagal untuk menghentikan hasrat beliau untuk ke Kufah. Kenapa agaknya Saidina Hussain tetap berkeras untuk ke Kufah? Jawapan Saidina Hussain adalah seperti berikut:

Saya telah bermimpi bertemu dengan Rasulullah s.a.w. dan saya telah melakukan sesuatu yang telah ditentukan kepada saya tanpa mengira ia mendatangkan keburukan kepada diri saya atau memberikan keuntungan kepada saya.
Lalu ‘Abdullah bin Yahya berkata: Apakah mimpi anda itu?
Jawab al-Hussain: Saya tidak dapat menceritakannya kepada seseorangpun, malah saya tidak boleh memberitahu kepada seseorangpun sehingga saya bertemu dengan Tuhan saya – Rujuk Tarikh al-Umam wa al-Muluk, jilid 4, ms. 388. Penulis nukil dari buku Kesalahan-Kesalahan Terhadap Fakta-Fakta Sejarah Yang Perlu Diperbetulkan Semula, ms. 270.

Sebenarnya sikap Saidina Hussain ini memiliki persamaan dengan ‘Uthman bin Affan. Ketika rumah ‘Uthman dikepung oleh para pemberontak, para sahabat serta umat Islam telah menawarkan bantuan untuk menghancurkan kepungan tersebut. Namun ‘Uthman menolak pelawaan tersebut demi untuk mengelak pertumpahan darah sesama umat Islam. Namun demikian motivasi sebenar ‘Uthman adalah hadis Rasulullah s.a.w yang mengkhabarkan bahawa beliau akan mati syahid.

Dari Qatadah, bahawa Anas r.a menceritakan kepada mereka, dia berkata: Nabi s.a.w. mendaki gunung Uhud bersama Abu Bakar, ‘Umar, serta ‘Uthman. Tiba-tiba Uhud bergoncang. Baginda bersabda: Tenanglah wahai Uhud – aku kira baginda memukulnya dengan kakinya – tak ada di atas mu kecuali seorang Nabi, Shiddiq dan dua syahid. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 3697.

Ternyata al-Shiddiq itu gelaran bagi Abu Bakar r.a manakala ‘Umar telah syahid ketika menjadi khalifah, maka ‘Uthman berpendapat bahawa seorang lagi yang bakal syahid menurut sabda Rasulullah s.a.w. tersebut adalah beliau sendiri. Itulah sebabnya ketika pemberontak menyerbu rumah ‘Uthman, beliau tetap menghalang para sahabat yang ada di situ untuk membantunya lalu berkata:

Saya bersabar menghadapi janji yang telah dijanjikan oleh Rasulullah s.a.w. kepada saya. Saya akan berhadapan dengan kematian saya sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T.. – rujuk Tarikh al-Umam wa al-Muluk karya Imam al-Tabari, ms. 391-392. Penulis nukil dari buku Kesalahan-Kesalahan Terhadap Fakta-Fakta Sejarah Yang Perlu Diperbetulkan Semula, ms. 265.

Malah al-Tabari juga melaporkan bahawa ‘Uthman tidak menghalang pemberontak untuk membunuhnya kerana:

Uthman telah bermimpi pada malam kejadian, Nabi s.a.w. datang menemuinya dan berkata kepadanya: Saya harap anda dapat berbuka bersama dengan kami pada malam ini. – Tarikh al-Umam wa al-Muluk, jilid 4. ms. 383. Penulis nukil dari buku Kesalahan-Kesalahan Terhadap Fakta-Fakta Sejarah Yang Perlu Diperbetulkan Semula, ms. 265.

Tentang syahidnya ‘Uthman dan Saidina Hussain maka Prof. Dr Ali Sya’wat berkata:

Tidakkah pembaca bersama dengan penulis yang pendirian yang diambil oleh al-Hussain adalah sama dengan pendirian yang diambil oleh ‘Uthman bin ‘Affan? Keduanya melihat kematian sebagai sesuatu yang sudah pasti berada dihadapannya. Keduanya juga telah dinasihati oleh keseluruhan orang-orang yang ikhlas yang berada disamping mereka. - Rujuk buku Kesalahan-Kesalahan Terhadap Fakta-Fakta Sejarah Yang Perlu Diperbetulkan Semula, ms. 271.

Apabila mendengar pergerakan rombongan Saidina Hussain ke Kufah maka Yazid memerintahkan gabenor beliau di Basrah iaitu Ubaidullah bin Ziyad serta tenteranya untuk berangkat ke Kufah bagi memantau pergerakan Saidina Hussain serta kebangkitan orang-orang Kufah. Tindakan Yazid bukanlah sesuatu yang sukar untuk difahami bagi mereka yang arif dalam bidang politik. Mana-mana pemimpin pasti akan berwaspada sekiranya terdapat ura-ura bahawa pemberontakan bakal terjadi dan ianya bukan sahaja boleh menggugat tampuk pemerintahannya malah akan menggugat kestabilan politik umat Islam pada masa itu. Harus kita semua fahami bahawa arahan dari Yazid hanyalah untuk memantau atau memerhatikan sahaja pergerakan Saidina Husain dan penduduk Kufah tersebut dan tindakan hanya perlu diambil sekiranya mereka terlebih dahulu memulakan serangan. Berikut merupakan pesanan Yazid kepada Ubaidullah bin Ziyad:

Saya mendapat tahu bahawa Hussain telah menuju ke Iraq. Oleh itu berkawallah di kawasan-kawasan perbatasan negeri. Sesiapa yang diragui, tahanlah dia dan sesiapa yang tertuduh tangkaplah dia. Tetapi jangan engkau perangi kecuali orang yang memerangi mu dan tulislah selalu kepada ku tentang apa yang berlaku. – Al-Bidayah Wa al-Nihayah, jilid 8, ms. 165. Dinukil dari artikel Syiah Pembunuh Sayyidina Hussain di Karbala yang ditulis oleh Mawlana Muhammad Asri Yusoff.

Di dalam riwayat yang lain Yazid telah berkata:

Adapun Hussain bin ‘Ali maka penduduk Iraq sekali-kali tidak akan melepaskannya sehinggalah mereka mengeluarkannya untuk memberontak. Maka sekiranya dia keluar memberontak terhadapmu dan engkau dapat menangkapnya maka maafkanlah dia kerana beliau mempunyai pertalian rahim yang sangat hampir dengan kita dan juga mempunyai hak yang sangat besar. – Tarikh al-Umam wa al-Muluk, jilid 4, ms. 238. Dinukil dari artikel Syiah Pembunuh Sayyidina Hussain di Karbala.

Oleh itu siapa sebenarnya yang membunuh Saidina Hussain? Maka terdapat dua riwayat tentang peristiwa di Karbala ini.

VERSI PERTAMA: Ubaidillah bin Ziyad telah bertindak berlebihan dari arahan sebenar Yazid lalu menyerang Saidina Hussain dan rombongannya di Karbala. Tindakan Ubaidillah bin Ziyad hanyalah bertujuan untuk menunjukkan kehebatannya serta mengampu khalifah. Apa yang menghairankan adalah tindakan penduduk Kufah yang kononnya sanggup untuk berkorban jiwa dan raga untuk mengangkat Saidina Hussain sebagai Khalifah serta menjatuhkan Yazid telah melarikan diri apabila melihat kemaraan tentera Ubaidillah bin Ziyad. Maka terpaksalah Saidina Hussain dan rombongannya yang hanya berjumlah sekitar 70 orang berhadapan dengan tentera Ubaidillah yang jauh lebih besar jumlahnya dari mereka. Mana pergi penduduk Kufah yang dikatakan terdapat sejumlah 12,000 orang yang telah bersiap sedia untuk menerima Saidina Hussain? Sekiranya 12,000 penduduk Kufah yang jumlah tersebut sebenarnya adalah jauh lebih besar dari tentera Ubaidillah mempertahankan Saidina Hussain kemungkinan besar tentera Ubaidillah akan dapat ditewaskan. Namun demikian ini hanya membuktikan bahawa penduduk Kufah memang pada asalnya tidak memiliki niat untuk menaikkan Saidina Hussain sebagai Khalifah. Perkara ini sebenarnya adalah sebahagian dari agenda kelompok Syiah untuk menimbulkan fitnah di kalangan umat Islam iaitu dengan melaga-lagakan Saidina Hussain dengan Yazid.

VERSI KEDUA: Ubaidillah bin Hussain sebenarnya mematuhi arahan Yazid dan tidak melancarkan serangan tersebut. Wakil Saidina Hussain di Kufah iaitu Muslim bin ‘Aqil telah menghidu konspirasi yang sedang dirancang oleh penduduk Syi’ah di sana. Sebelum Muslim dibunuh oleh penduduk Kufah beliau sempat mengutuskan ‘Umar bin Saad bin Abi Waqqas kepada Saidina Hussain yang semakin hampir tiba ke bandar Kufah tentang kecurangan golongan Syi’ah. Maka Saidina Hussain membatalkan hasratnya untuk ke Kufah dan mengubah laluan rombongannya menuju ke Syam untuk menemui Yazid. Ini jelas menunjukkan bahawa Saidina Hussain telah meninggalkan niat asalnya untuk memberontak terhadap Yazid dan telah pun menunjukkan kesediannya untuk membai’ah Yazid. Golongan Syi’ah di Kufah mula panik dengan perubahan arah tersebut kerana sekiranya Saidina Hussain berbai’ah kepada Yazid maka musnahlah segala perancangan kotor mereka untuk memporak-perandakan kesatuan umat Islam. Sekiranya Hussain berada di pihak Yazid maka sudah pasti mereka akan dihancurkan oleh tentera Islam. Menurut ulamak Syi’ah sendiri iaitu Mulla Baaqir Majlisi tentera Syi’ah lengkap bersenjata dari Kufah mengejar rombongan Saidina Hussain dan mereka bertembung di Karbala. Menurut Mulla Baqir Majlisi:

Sejarah memaparkan bahawa dialah (iaitu Syits bin Rab’ie seorang Syi’ah dari Kufah) yang mengetuai 4000 bala tentera untuk menentang Saidina Hussain dan dialah orang yang mula-mula turun dari kudanya untuk memenggal kepala Saidina Hussain – Mulla Baaqir Majlis, Jilaau al-‘Uyun, ms. 37. Dinukil dari artikel Syiah Pembunuh Sayyidina Hussain di Karbala.

Apa pun jua berkaitan dengan kedua-dua riwayat di atas, ternyata Yazid bebas dari tuduhan membunuh Saidina Hussain. Maka syahidlah Saidina Hussain di Karbala. Setelah peristiwa itu Yazid telah memberi perlindungan kepada ahli keluarga Saidina Hussain yang terselamat dari serangan tersebut sehinggalah mereka kembali ke Madinah. Justeru itu dapat kita fahami bahawa kisah Karbala versi Syiah yang menyatakan Yazid adalah pembunuh sebenar Saidina Hussain malah kononnya Yazid telah menyuruh kepala Saidina Hussain dipenggal untuk diserahkan kepadanya adalah tidak benar sama sekali. Apa yang harus kita fahami bahawa riwayat-riwayat yang menyatakan Yazid sebagai pembunuh Saidina Hussain 90% daripadanya adalah daripada Abu Mikhnaf, al-Saaib al-Kalbi dan anaknya Hisyam yang merupakan penganut fahaman Syi’ah Rafidhah yang ekstrim dan telah dituduh sebagi pendusta oleh ulamak-ulamak Rijal (ilmu mengkaji biografi para perawi).

Begitu jelas bahawa pihak yang sebenarnya bertanggungjawab di atas kematian Saidina Hussain adalah golongan Syiah di Kufah. Malah ‘Abdullah ibnu ‘Umar r.a seorang sahabat Nabi yang besar kedudukannya bahkan Rasulullah s.a.w. pernah bersabda tentang beliau: Sesungguhnya ‘Abdullah [Ibnu ‘Umar] adalah seorang lelaki yang soleh [rujuk hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 3740] telah mempertanggungjawabkan penduduk Kufah atas kematian Saidina Hussain. Dari Abdul Rahman bin Abi Na’m dia berkata:

Aku melihat (Abdullah) Ibn ‘Umar ditanya oleh seorang lelaki berkenaan hukum darah lalat. Ibn ‘Umar bertanya: Kamu berasal dari mana? Lelaki itu menjawab: Aku daripada orang-orang Iraq.
Lalu Ibn ‘Umar berkata: Lihatlah orang ini, dia bertanya kepada aku berkenaan darah lalat padahal mereka (orang-orang Iraq) membunuh cucu Nabi s.a.w.. Aku mendengar Nabi s.a.w. bersabda: Mereka berdua (Hasan dan Husain) adalah penyejuk hatiku di dunia. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 5994.

Malah Saidina Hussain sendiri telah menyalahkan penduduk Kufah di atas peperangan berat sebelah yang terpaksa beliau hadapi di Karbala. Telah diriwayatkan bahawa ucapan beliau yang terakhir sebelum terbunuh di Karbala adalah:

Ya Allah, berilah putusan di antara kami dan di antara orang-orang yang mengajak kami untuk menolong kami, namun ternyata mereka membunuh kami. – Rujuk buku Pengkhianatan Pengkhiantan Syiah Dan Pengaruhnya Terhadap Kekalahan Umat Islam karya Dr. Imad Ali Abdus Sami’, Pustaka Al-Kautsar, Jakarta 2006, ms. 35-36.

Bahkan ulamak Syi’ah Mulla Baaqir Majlisi juga telah meriwayatkan kata-kata terakhir Saidina Hussain sebelum syahid di Karbala:

Wahai orang-orang Kufah! Semoga kamu dilaknat sebagaimana dilaknat niat-niat jahat kamu. Wahai orang-orang yang curang, zalim dan pengkhianat! Kamu telah menjemput kami untuk membela kami di waktu kesempitan tetapi bila kami datang untuk membela kamu dengan menaruh kepercayaan kepada kamu maka sekarang kamu hunuskan pedang dendammu kepada kami dan kamu membantu musuh-musuh di dalam menentang kami. – Mulla Baaqir Majlis, Jilaau al-‘Uyun, ms. 391. Dinukil dari artikel Syiah Pembunuh Sayyidina Hussain di Karbala.

Seterusnya Mulla BaaqirMajlisi juga merakamkan doa Saidina Hussain terhadap golongan Syi’ah:

Binasalah kamu! Tuhan akan membalas bagi pihakku di dunia dan di akhirat… Kamu akan menghukum diri kamu sendiri dengan memukul pedang-pedang di atas tubuh mu dan muka mu dan kamu akan menumpahkan darah kamu sendiri. Kamu tidak akan mendapat keuntungan di dunia dan kamu tidak akan sampai kepada hajatmu. Apabila mati nanti sudah tersedia azab Tuhan untuk mu di akhirat. Kamu akan menerima azab yang akan diterima oleh orang-orang kafir yang paling dahsyat kekufurannya. - – Mulla Baaqir Majlis, Jilaau al-‘Uyun, ms. 409. Dinukil dari artikel Syiah Pembunuh Sayyidina Hussain di Karbala.

sumber

Sunday, December 21, 2008

SYIAH THE RETURN!!!

Bersempena menyambut Aidil Adha atau lebih tepat disebut Eidul Adha banyaklah rancangan televisyen yang disiar khas bersempena perayaan agung Islam ini. Antara saluran televisyen yang menarik perhatian saya adalah Oasis, sebuah saluran Astro yang dikhaskan memuatkan rancangan-rancangn berunsur keagamaan.

Namun, amat menyedihkan sekali apabila filem yang menjadi pilihan adalah filem-filem Syiah Imamiah Iran. Filem-filem yang memaparkan akidah dan kepercayaan khurafat Syiah.

Sunnguh hairan, dalam kelantangan pihak berkuasa agama negara kita seperti JAKIM dan MAJLIS FATWA KEBANGSAAN menyeru supaya dibanteras ajaran sesat pihak media pula sibuk mempromosi ajaran-ajaran sesat kepada umat Islam negara ini. Sunnguh hairan dan memalukan…

Antara filem yang sempat saya tonton adalah berjudul 25:00 HOURS yang memaparkan bagaimana seorang tentera revolusi Iran yang telah mati tetapi TIDAK sedar dia telah mati. Rohnya kembali melihat keadaan keluarganya dan membantu anaknya yang dalam masalah. Turut serta adalah roh ibunya yang menjadi pembimbingnya.

Wah! Takjub betul saya, ingatkan cerita Kristian atau Hindu rupa-rupanya cerita yang dihasilkan sebuah negara yang mendakwa dirinya ISLAM. Tetapi bila diingatkan mereka itu berfahaman SYIAH maka hilanglah segala kekaguman, beralih pula kepada kehairanan kepada pihak penerbit, apakah mereka begitu jahil dan jika jahil sangat kenapa tidak merujuk dahulu kepada pihak berwajib sebelum menayangkan cerita-cerita KHURAFAT seperti ini??!!

Apakah ada dalam akidah Ahli Sunnah wal Jamaah yang menjadi pegangan Umat Islam di negara ini seorang yang mati tetapi dia tidak sedar bahawa dia telah mati?!! Apakah menjadi akidah kita seorang yang mati tidak menerima azab atau nikmat kubur, tiada pula soal Munkar dan Nakir sehingga ruh boleh kembali ke alam dunia ini?!!

Cukuplah filem ini ditolak dengan firman Allah s.w.t dalam surah al-Mukminun ayat ke-99 dan 100 yang maksudnya :

Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah dia: Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia). Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan. Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang dia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).

Dalam ayat di atas dengan jelas Allah s.w.t menyatakan ruh tidak dapat kembali kerana mereka berada di alam BARZAKH yakni PENGHALANG YANG MENGHALANG MEREKA KEMBALI KE DUNIA [rujuk Tafsir Jalalain].

Mungkin ada yang berkata, ayat ini menceritakan golongan kafir, maka bagaimana golongan mukmin? Jawapannya mudah : Tentulah mereka yang meminta untuk kembali ke dunia ini golongan kafir atau ahli maksiat untuk mereka lari daripada azab kubur dan kononnya supaya mereka boleh menebus kesalahan mereka. Adapun golongan mukmin mereka berada dalam nikmat di sisi Allah s.w.t dan tiada lagi hajat untuk mereka kembali. Nah, jika golongan kafir dan ahli maksiat yang meminta pun tidak dapat kembali apatah lagi orang mukmin yang langsung tidak teringin untuk kembali ke dunia ini.

Saya katakan, jika adalah ruh yang boleh kembali membetulkan masalah rumah tangganya tentulah ruh Nabi kita Muhammad s.a.w lebih utama kembali membetulkan keadaan umat baginda hari ini. Sedangkan Nabi lagi Rasul, kekasih Allah sendiri tidak lagi mampu kembali ke dunia, apalah sangat ruh manusia biasa ini.Telah sabit dalam hadis al-Bukhari dan Muslim bahawa Umar bin al-Khattab r.a seorang sahabat yang sangat hampir dengan Rasulullah s.a.w menyatakan :

“Tiga perkara aku suka jika Rasulullah tidak meninggalkan kita sehingga baginda mengikat perjanjian (menerangkannya)…(pusaka) datuk, al-Kalalah (satu masalah dalam ilmu pusaka), dan beberapa bab dalam masalah riba”

Sunnguh pun demikian Rasulullah s.a.w tidak datang kepada Umar r.a secara sedar mahupun dalam mimpi menerangkan tiga perkara ini. Jika boleh ruh manusia yang telah mati kembali ke dunia maka ruh baginda Nabi s.a.w adalah yang paling layak.

Namun, akidah Islam menetapkan kemustahilan perkara ini berlaku dan sesiapa yang mempercayai pulangnya ruh akidahnya adalah khurafat dan sesat. Maka, apakah patut kita membiarkan media tempatan negara ini menghina akidah Ahli Sunnah yang menjadi pegangan umat Islam Malaysia? adakah kita rela media kita menyebarkan perkara khurafat dan ajaran sesat dalam masyarakat kita?

Oleh itu, saya berharap kepada pihak berkuasa supaya bertindak sebelum terlambat. Wallahua’lam.

sumber: http://mashoori.wordpress.com

Wednesday, September 24, 2008

Siapa Dan Apa Aqidah Pegangan Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab?

Para Pendukung Sunnah Di Malaysia Hanyalah
Pengikut Gerakan Wahhabiyah Dan Bukannya
Ahli Sunnah Yang Sebenar ??? [1]
Penulis : Dr Azwira Abdul Aziz

Siapa Dan Apa Aqidah Pegangan Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab?

Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab At-Tamimi (1115-1206H/1703-1792M) ialah salah seorang tokoh Ahli Sunnah yang telah melancarkan gerakan dakwah islah di Semenanjung Tanah Arab untuk menghidupkan semula Sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang telah dimatikan oleh kejahilan umat Islam dalam pelbagai aspek aqidah dan syariat. Dalam konteks ini, Yusuf Al-Qaradawi berkata:

Maksudnya: “Adapun Imam Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab di Semenanjung Arab, yang menjadi keutamaan di sisinya ialah untuk menjaga aqidah dan batas tauhid daripada gejala kesyirikan dan khurafat yang telah mencemar serta mengeruhkan sumber dan kejernihannya. Untuk itu, beliau telah mengarang pelbagai buku dan risalah serta melancarkan gerakan dakwah bagi memusnahkan pelbagai fenomena kesyirikan ... ”[2]

Manakala Wahbah az-Zuhaili [3] pula berkata

Maksudnya: “(Gerakan) Dakwah Sheikh Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab pada kurun ke 12 hijrah (18 masehi) adalah antara suara kebenaran yang paling berani dan antara pendakwah islah, pembinaan dan jihad yang paling besar untuk mengembalikan keteguhan pegangan individu muslim terhadap manhaj Salaf, untuk memperbaharui kehidupan Islam di kalangan awam yang telah dicemari oleh (gejala) khurafat, waham, bid’ah dan penyelewengan ... ” [4]

Untuk mengukuhkan lagi bukti kebenaran pegangan Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab, maka seterusnya diperturunkan kata-kata yang beliau ungkapkan dalam risalahnya kepada penduduk Al-Qasim, katanya Maksudnya:

“Aku mempersaksikan kepada Allah dan kepada para Malaikat yang hadir di depanku, dan aku mempersaksikan kepada kamu bahawa sesungguhnya aku beri’tiqad (berpegang) dengan i’tiqad (pegangan) firqah najiah (puak yang selamat) Ahli Sunnah Wal Jama’ah dari segi beriman dengan Allah, para Malaikat, Kitab-Kitab, para Rasul, (Hari) Kebangkitan selepas kematian dan beriman dengan Al-Qadar (sama ada) baik atau buruk.

Antara (ciri) keimanan dengan Allah ialah beriman dengan apa yang Dia sifatkan DiriNya dengannya dalam kitabNya melalui lidah RasulNya Shallallahu ‘alaihi wasallam, tanpa tahrif (mengubah atau menukar ganti makna) dan tanpa ta’til (menafikan sifat bagi Allah Subhanahu wa Ta’ala). Bahkan aku beri’tiqad bahawa Allah Subhanahu wa Ta’ala tiada sesuatu pun yang menyerupaiNya dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

Justeru aku tidak menafikan dariNya apa yang Dia sifatkan diriNya dengannya, aku juga tidak tahrifkan kata-kata (Al-Quran) dari maksud-maksudnya, aku juga tidak mengilhadkan (menolak secara anti) nama-nama serta ayat-ayatNya, aku juga tidak mentakyif (menggambarkan rupa bentuk) dan tidak mentamthil (mengumpamakan makna) sifat-sifatNya yang Maha Tinggi dengan sifat-sifat makhlukNya, kerana Dia Maha Tinggi, tiada persamaan, tiada kesetaraan dan tiada sekutu bagiNya, Dia tidak boleh dikiaskan dengan makhlukNya kerana sesungguhnya Dia yang Maha Suci lebih mengetahui tentang diriNya dan yang selainNya.

Dia yang paling benar dan paling elok percakapanNya, Dia mensucikan diriNya daripada apa yang disifatkan pada diriNya dengannya oleh para penyeleweng dari kalangan ahli takyif dan tamthil, dan (Dia juga mensucikan diriNya) daripada apa yang dinafikan dariNya oleh para penafi dari kalangan ahli tahrif dan ta’til, lalu Dia berfirman: “Maha suci Tuhanmu, Tuhan yang mempunyai keagungan dari apa yang mereka sifatkan, dan selamat sejahtera ke atas sekelian Rasul, dan segala pujian bagi Allah Tuhan sekelian alam” [5].

Firqah najiah (berada) di pertengahan antara puak Qadariyyah dan Jabriyyah dalam bab perbuatan-perbuatanNya Yang Maha Tinggi, mereka juga berada di pertengahan antara puak Murji’ah dan Wa’idiyyah dalam bab wa’id (janji) Allah, mereka juga berada di pertengahan antara puak Haruriyyah (aliran Khawarij) dan Mu’tazilah atau antara puak Murji’ah dan Jahmiyyah dalam bab iman dan agama, dan mereka juga berada di pertengahan antara puak Rafidah dan Khawarij dalam bab Sahabat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam”.

“Dan aku beri’tiqad (berpegang) bahawa Al-Quran itu Kalam Allah yang diturunkan, ia bukan makhluk, daripadaNya ia bermula dan kepadaNya ia kembali, Dia berfirman dengannya secara hakiki dan Dia menurunkannya ke atas hambaNya, rasulNya, pemegang amanah wahyuNya, dan juga dutaNya antara Dia dan hamba-hambaNya, (iaitu) Nabi kita Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Aku beriman bahawa Allah Maha Berkuasa melakukan apa yang Dia kehendaki, tidak berlaku sesuatu melainkan dengan kehendakNya, tiada suatu pun yang terkeluar daripada kehendakNya, tiada suatu pun dalam alam ini yang terkeluar daripada takdirNya dan tidak terbit melainkan melalui pentadbiranNya, tiada seorang pun yang terkecuali daripada Qadar yang dihadkan dan dia tidak melangkaui apa yang telah tertulis baginya di Lauh Mahfuz.

Dan aku beri’tiqad dengan keimanan terhadap setiap apa yang dikhabarkan dengannya oleh Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam, berkenaan perkara yang akan berlaku selepas kematian, aku beriman dengan (adanya) fitnah kubur dan ni’matnya, dan juga (aku beriman) dengan pengembalian ruh ke dalam jasad, dimana sekalian manusia bangkit (menuju) kepada Tuhan semesta alam dalam keadaan berkaki ayam, bertelanjang dan berkulup[6], Matahari menghampiri mereka. Kemudian dipacakkan neraca-neraca penimbang amalan lalu ditimbang dengannya segala amalan para hamba. Sesiapa yang berat neraca timbangan (kebaikannya) maka merekalah orang yang beroleh kemenangan, manakala sesiapa yang ringan neraca timbangan (kebaikannya) maka merekalah orang yang merugikan diri mereka sendiri, yang kekal di dalam Neraka Jahannam. Kemudian dibahagi-bahagikan pula dawawin (buku-buku amalan), maka ada yang mendapatnya melalui tangan kanan dan ada pula yang mendapatnya melalui tangan kiri.

Aku beriman dengan (adanya) kolam Nabi kita Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam di tengah-tengah laman Hari Qiamat, (warna) airnya lebih putih daripada susu dan lebih manis daripada madu, bekas-bekas (minumannya) sebanyak bilangan bintang di langit, sesiapa yang meminum seteguk darinya tidak akan dahaga selepas itu selama-lamanya. Aku beriman bahawa titian Sirat itu terbentang di atas tebing Neraka Jahannam, (cara) manusia melintasinya mengikut kadar amalan mereka.

Aku beriman dengan (adanya) syafa’at Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, dan bahawa dialah yang pertama memberi syafa’at dan yang dibenarkan memberi syafa’at, tidak ingkar (kewujudan) syafa’at Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ini melainkan ahli bid’ah dan golongan sesat. Namun, ia (syafa’at) tidak akan terhasil melainkan selepas keizinan dan keredhaan, sebagaimana firmanNya: “Dan mereka (para Malaikat) tidak memberi syafa’at melainkan kepada orang yang diredaiNya” [7]. Dia juga berfirman: “Tiada yang dapat memberi syafa’at di sisi Allah tanpa izinNya” [8]. Dia juga berfirman: “Dan berapa ramaikah Malaikat di langit yang syafa’at mereka tidak sedikitpun berguna melainkan sesudah Allah mengizinkan bagi orang yang Dia kehendaki dan yang Dia redhai” [9]. Sedangkan Dia tidak akan redha melainkan tauhid dan Dia juga tidak akan mengizinkan kecuali untuk ahlinya (ahli tauhid). Manakala golongan musyrikin pula, maka tiada bagi mereka habuan syafa’at sedikitpun, sebagaimana firmanNya: “Maka tiada berguna lagi bagi mereka syafa’at dari orang yang memberi syafa’at”[10].

Aku beriman bahawa Syurga dan Neraka itu adalah dua makhluk, dan bahawa kedua-duanya sudah sedia wujud pada hari ini, dan bahawa kedua-duanya tidak akan binasa, dan bahawa orang beriman akan melihat Tuhan mereka dengan penglihatan mereka pada Hari Qiamat, sebagaimana mereka melihat bulan pada malam purnama, mereka tidak tertanya-tanya [11] ketika melihatNya.

Aku beriman bahawa Nabi kita Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam ialah pemutus segala Nabi dan Rasul, tidak sah iman seseorang hamba sehingga dia beriman dengan kerasulannya serta mengaku kenabiannya, dan bahawa sebaik-baik umatnya ialah Abu Bakr As-Siddiq, kemudian ‘Umar Al-Faruq, kemudian ‘Uthman Zu An-Nurain, seterusnya ‘Ali Al-Murtada, dan diikuti oleh baki 10 orang (yang dijamin masuk syurga), kemudian Ahli Badr, kemudian Ahli Syajarah, Ahli Ba’iah Al-Ridwan dan seterusnya seluruh para Sahabat radhiallahu ‘anhum, aku beristighfar untuk mereka, aku menahan diri (daripada berkata) mengenai keburukan mereka, aku diam mengenai perselisihan yang berlaku antara mereka, aku meyakini kelebihan mereka kerana beramal dengan firmanNya yang Maha Tinggi: “Dan orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Ansar), mereka berdoa: “Ya Tuhan kami! Ampunkanlah kami dan juga saudara-saudara kami yang terlebih dahulu beriman sebelum kami, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami kedengkian terhadap orang beriman, Ya Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang”[12]. Aku bertaraddi (menyebut radiallah) terhadap para isteri Nabi yang suci daripada sebarang kejahatan.

Aku memperakui (adanya) karamah dan kasyaf bagi para wali, tetapi mereka tidak berhak mendapat sedikitpun daripada hak (ketuhanan) Allah, tidak boleh dipohon daripada mereka perkara yang hanya mampu dilakukan oleh Allah. Aku tidak memperakukan Syurga atau Neraka bagi seorangpun dari kalangan orang Islam melainkan orang yang telah diperakukan oleh Rasululah Shallallahu ‘alaihi wasallam, cuma aku berharap (balasan Syurga) bagi orang baik dan aku bimbangkan (balasan Neraka) ke atas orang jahat.

Aku tidak mengkafirkan seorangpun dari kalangan orang Islam dengan sebab dosa dan aku juga tidak mengeluarkannya dari daerah (agama) Islam. Aku berpendapat bahawa jihad itu berterusan bersama setiap Imam (Khalifah), (tak kira) sama ada dia orang baik atau jahat, harus solat berjamaah di belakang mereka, jihad itu berterusan semenjak Allah mengutuskan (Nabi) Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam sehinggalah generasi terakhir umat ini membunuh Dajjal, ia (jihad) tidak terbatal oleh kezaliman (Imam) yang zalim atau keadilan (Imam) yang adil.

Aku berpendapat wajib patuh serta taat kepada para pemimpin orang Islam, sama ada yang baik atau yang jahat selagi mereka tidak menyuruh melakukan maksiat terhadap Allah. Sesiapa yang memegang jawatan Khalifah manakala orang ramai pula berkumpul untuk (membai’ah)nya serta mereka redha dengannya, sedangkan dia menguasai mereka dengan kekerasannya sehingga dia menjadi Khalifah, maka wajib mentaatinya dan haram keluar menentangnya.

Aku berpendapat (wajib) menjauhi Ahli Bid’ah dan membezai mereka sehingga mereka bertaubat, aku menghukum mereka secara zahir dan aku serahkan rahsia-rahsia (hati) mereka kepada Allah, aku beri’tiqad bahawa setiap perkara baru dalam agama itu adalah bid’ah.

Aku berpegang bahawa iman itu adalah mengucap dengan lidah, beramal dengan anggota badan dan beri’tiqad dengan hati, ia bertambah dengan ketaatan dan berkurang dengan maksiat, ia ada lebih 70 cabang, yang paling tinggi ialah syahadah La Ilaha Illallah manakala yang paling rendah ialah membuang bahaya dari (permukaan) jalan. Aku berpendapat wajib menyuruh kepada kebaikan dan melarang daripada kemungkaran mengikut apa yang diwajibkan oleh syari’at Nabi Muhammad yang suci. Maka inilah ringkasan aqidah, yang telah aku karangnya dalam keadaan minda yang sibuk agar kamu dapat meneliti apa yang ada padaku, dan hanya Allah sahajalah yang mewakili apa yang kami kata” [13].

Demikianlah ringkasan pegangan Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab yang sengaja penulis paparkan di sini untuk dinilai oleh para pembaca sekalian, manakah pendapat beliau yang dikatakan menyimpang daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Keseluruhan pegangan Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab itu adalah didasarkan kepada nas-nas sahih sama ada daripada Al-Quran atau As-Sunnah dan ia jelas menyamai maksud keseluruhan kata-kata Ibn Taimiyyah dalam kitabnya Al-’Aqidah Al-Wasitiyyah.

Justeru apabila menjelaskan kebenaran pegangan Wahabiyyah ini, ‘Abd Ar-Rahman Ar-Ruwaishid berkata:

“Pemikiran Wahabiyyah Salafiyyah itu bukanlah suatu agama baru atau suatu mazhab baru sebagaimana yang diwar-warkan oleh seteru-seterunya. Sesungguhnya ia adalah (gerakan) menghidupkan (ajaran) agama yang sebenar, yang terhasil daripada usaha ikhlas untuk menyeru kepada pengembalian bentuk ketulenan Islam dan pengambilan hukum syara’’ daripada sumbernya yang suci. Sebagaimana ia juga menyeru kepada gerakan penyucian yang menyeluruh daripada setiap perkara kesyirikan, bid’ah, penyelewengan dan kesesatan yang diselinap masuk ke dalam pegangan agama sehingga memomokkan hakikat iman, merosakkan kemurnian agama ini serta menjauhkan penganutnya daripada kekuatan iltizam sebagai suatu pegangan dan amalan” [14]

Kenapakah Gerakan Dakwah Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab Dimomok-Momokkan Sebagai Wahabi?

Mungkin ada yang tertanya-tanya, jika pegangan Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab itu benar, maka kenapakah ada usaha untuk memomok-momokkan gerakan dakwah beliau dengan gelaran Wahabiyyah itu? Jawapannya:

Pertama:

Wahabi atau Wahabiyyah adalah gelaran yang diberikan oleh musuh-musuh Sunnah ke atas Ahli Sunnah dengan tujuan untuk memomok-momokkan usaha mereka menegakkan Sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Gelaran ini pada mulanya dicetuskan oleh para pendukung khurafat dari kalangan orang Islam sendiri yang tidak bersetuju dengan pegangan Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab itu.

Akan tetapi kesempatan ini diambil oleh pihak penjajah Inggeris untuk memburuk-burukkan gerakan dakwah Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab, kerana mereka bimbang gerakan itu akan mencetuskan kebangkitan dan kesedaran dunia Islam untuk menentang mereka. Buktinya, pihak Inggeris pernah menggunakan istilah Wahabi ke atas para ulama Deoband (pendukung Sunnah) yang menentang penjajahan mereka di India.[15] Sedangkan para ulama berkenaan tidak ada hubungan langsung dengan Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab, melainkan hubungan secara kebetulan dalam bentuk kesatuan manhaj kerana mereka berpijak di atas landasan Sunnah yang sama. Ini bermakna gelaran itu sengaja dipopularkan oleh pihak kolonialis barat untuk memburuk-burukkan sebarang gerakan yang mengancam mereka.

Dalam konteks negara kita, definisi yang diberikan oleh individu-individu tertentu terhadap istilah wahabiyyah itu sendiri menggambarkan kefahaman dan persepsi mereka yang bercanggah, bercampur aduk dan bersimpang siur. Ada yang mendefinisikan Wahabiyyah sebagai kumpulan yang menolak Sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, tawassul, syafa’at dan lain-lain [16].

Ada yang mentakrifkan fahaman Wahabi itu sebagai amalan yang menyifatkan kebanyakan amalan sunat golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang diamalkan orang Islam di Malaysia tidak perlu [17], dan ada yang mentakrifkannya sebagai satu gerakan yang bertujuan untuk memurnikan perilaku umat Islam yang telah menyimpang daripada tuntutan agama yang sebenar [18].

Kepelbagaian definisi ini jelas menggambarkan percanggahan persepsi disebabkan perbezaan sumber dan tahap maklumat yang diperolehi. Bandingkanlah definisi-definisi ini dengan petikan kata-kata Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab di atas, seperti katanya yang bermaksud:

“…dan aku mempersaksikan kepada kamu bahawa sesungguhnya aku berpegang dengan pegangan firqah najiah (puak yang selamat) Ahli Sunnah Wal Jama’ah dari segi beriman dengan Allah, para Malaikat, Kitab-Kitab, para Rasul, (Hari) Kebangkitan selepas kematian dan beriman dengan Al-Qadar (sama ada) baik atau buruk...Aku beriman dengan (adanya) syafa’at Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, dan bahawa dialah yang pertama memberi syafa’at dan yang dibenarkan memberi syafa’at, tidak ingkar (kewujudan) syafa’at Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ini melainkan ahli bid’ah dan golongan sesat”.

Dengan kenyataan seperti ini, maka dapat disimpulkan bahawa faktor di sebalik pendefinisian Wahabiyyah sebagai kumpulan yang menolak Sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, syafa’at dan amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah semata-mata kejahilan dan pengkhianatan.

Kedua:

Kembali kepada persoalan di atas, kenapa pula ada usaha dari pihak orang Islam sendiri untuk memomok-momokkan gerakan dakwah islah Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab? Jawapannya, persepsi negatif sesetengah pihak terhadap gerakan tersebut berlaku hanya disebabkan oleh dua faktor:

1. Kejahilan mereka tentang pegangan Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab yang sebenar, sedangkan pegangannya itu adalah juga pegangan sebenar Ahli Sunnah Wal Jamaah. Dengan perkataan lain pihak yang memburuk-burukkan itu bukan sahaja tidak tahu pegangan sebenar Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab, bahkan pada masa yang sama mereka juga tidak tahu apakah pegangan sebenar Ahli Sunnah Wal Jamaah.

2. Sebahagian amalan yang dilihat sebagai bid’ah dan khurafat oleh Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab, tidak dianggap sedemikian oleh pihak-pihak yang memusuhinya.

Sebagai contoh bagi faktor kedua di atas, amalan memohon hajat di perkuburan yang dianggap memiliki keramat dilihat oleh Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab sebagai perkara khurafat dan kesyirikan yang mirip kepada penyembahan berhala, sedangkan amalan itu tidak dianggap sedemikian oleh sesetengah pihak yang memusuhinya. Dalam konteks ini, seorang ‘tokoh ulama melayu’ [19] semasa berkata:

“Perbuatan melawat makam mereka yang utama dan menghadiahkan pahala amalan juga perbuatan yang mulia di sisi Ahli Sunnah, dan berdoa di makam (kuburan) orang (mati) itu, dengan barakahnya, maka doa itu boleh dikabulkan dengan segera” [20].

Kata-kata ini jelas menunjukkan kepercayaan si penuturnya terhadap kekeramatan makam orang yang dianggap shalih, sehingga dia menganggapnya sebagai wasilah (perantara) untuk dikabulkan doa atau dengan perkataan lain dia ‘bertawassul’ dengan kubur tersebut. Orang yang mengungkapkan kata-kata seumpama ini atau yang telah biasa mengamalkan amalan seumpama itu sudah tentu tidak boleh menerima pendapat Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab dalam hal berkenaan. Dalam konteks ini, Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab berkata:

Maksudnya: “Maka sekiranya kamu sangka bahawa ini bukanlah suatu (bentuk) penyembahan berhala yang disebut dalam Al-Quran, maka ia adalah pelik kerana sesungguhnya aku tidak mengetahui seorang pun dari kalangan ahli ilmu yang berbeza pendapat dalam hal itu. Kecuali, jika berlaku ke atas seseorang itu apa yang telah berlaku ke atas golongan Yahudi dari segi keimanan mereka kepada Al-Jibt Wa At-Taghut (Syaitan)… Kenapa tidak, sedangkan sebahagian daripada mereka yang mengingkari ke atasku perkara ini dan yang mendakwa diri mereka sebagai ahli ilmu, mereka (turut) bergelumang dengan kesyirikan yang paling besar, bahkan mereka menyeru (berdoa) kepadanya. Sekiranya mereka dengar ada seorang insan yang mentajridkan (menunggalkan) tauhid, nescaya mereka melemparkan ke atasnya (tuduhan) kekufuran dan kefasikan, tetapi kami minta berlindung dengan Allah daripada (mendapat) keredhaan manusia dengan kemurkaan Allah” [21].

Oleh kerana para pendukung khurafat tiada hujah sahih untuk membuktikan kebenaran amalan bertawassul dengan kubur, selain hujah ‘dengar cakap’ kononnya ia adalah amalan mulia di sisi Ahli Sunnah, mereka tiada pilihan melainkan mengambil pendekatan ‘pertahanan hadapan’ dengan memburuk-burukkan imej Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab supaya masyarakat Islam awal-awal lagi tidak mengambil tahu dalil dan hujah Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab dalam persoalan itu.

Persoalannya, pendapat siapakah yang benar? Pendapat tokoh yang mendakwa amalan tersebut sebagai mulia di sisi Ahli Sunnah atau pendapat Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab yang mendakwa kesepakatan para ulama tentang kesyirikan amalan berkenaan? Dalam sebuah risalah berkenaan ajaran sesat yang diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) terdapat kenyataan yang berbunyi:

“Di antara bentuk-bentuk amalan khurafat yang berlaku di kalangan orang Islam di negara ini ialah: (a) Kepercayaan kepada keramat seperti kubur, pokok kayu, telaga keramat, batu, bukit, tongkat dan sebagainya” [22].

Orang yang ada sedikit kecerdikan sekali pun boleh memahami bahawa kenyataan ini adalah menepati pendapat Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab dan menyalahi pendapat ‘tokoh ulama melayu’ itu. Justeru apakah boleh dikatakan bahawa para penyusun risalah terbitan JAKIM itu terdiri daripada para pengikut fahaman Wahabi, kerana mereka mengeluarkan kenyataan yang menyamai pegangan Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab itu, atau sebaliknya kenyataan itu mengesahkan status ‘tokoh ulama melayu’ berkenaan sebagai pendukung khurafat dan bid’ah? Jika terbukti bahawa pendapat tokoh ulama melayu itu salah, maka bagaimana dengan dakwaan beliau bahawa pendapatnya itu adalah pendapat Ahli Sunnah? Bukankah ini membuktikan bahawa dakwaan itu merupakan suatu pembohongan dan pengkhianatan ke atas Ahli Sunnah dan seterusnya merupakan pengkhianatan terhadap ajaran agama?

Dari Manakah Asal Usul Gelaran Wahabi?

Jika dilihat dari sudut bahasa, perkataan Wahabiyyah itu sangat quddus (suci) kerana ia berasal daripada perkataan Wahhab yang merupakan salah satu daripada nama Allah Subhanahu wa Ta’ala (Al-Wahhab). Perkataan Wahhab itu juga sinonim dengan nama ayahnya ‘Abd Al-Wahhab, manakala namanya yang sebenar (Muhammad) menyamai nama Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Jika dilihat dari segi kesesuaian nama, sepatutnya gerakan itu digelar Muhammadi dan bukannya Wahabi, kerana orang yang dianggap sebagai pengasas gerakan itu bernama Muhammad dan bukannya Wahhab.

Persoalannya, kenapakah suatu gerakan yang dianggap sesat itu digelar dan dinisbahkan kepada nama Allah yang Maha Quddus, dan juga kenapakah ia dinisbahkan kepada nama ayah dan bukan kepada nama sebenar tokoh berkenaan? Sebenarnya, penulis sendiri sejak sekian lama tertanya-tanya berkenaan hal ini, sehinggalah seorang sahabat mengisyaratkan kepada kewujudan sebuah risalah yang membahaskan persoalan tersebut. Risalah itu mencatatkan bahawa istilah Wahabiyyah itu pada asalnya adalah gelaran bagi puak-puak Khawarij yang muncul di kawasan Utara Afrika dan Maghribi. Ia dinisbahkan kepada pimpinan puak Khawarij kerajaan Ar-Rustumiyyah bernama ‘Abd Al-Wahhab Ar-Rustumi dan juga pimpinan puak Khawarij Al-Haruriyyah yang bernama ‘Abd Allah Ibn Wahab Al-Wasibi. Kedua-dua puak Khawarij ini muncul lama sebelum kemunculan gerakan dakwah islah Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab [23].

Oleh kerana ada persamaan pada nama mereka dari segi kewujudan perkataan wahhab itu, maka persamaan itu, yang lebih merupakan satu “kebetulan”, diambil kesempatan oleh para pendukung bid’ah untuk mengaitkan gerakan islah Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab dengan puak berkenaan. Dengan memberinya gelaran puak Khawarij, maka mereka telah berjaya memburukkan imej gerakan islah Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab pada kaca mata sebahagian besar umat Islam yang jahil. Akibatnya, usaha baik yang dilancarkan untuk memurnikan tauhid, membetulkan aqidah dan menghidupkan Sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah disalah anggap sebagai gerakan Khawarij yang menyimpang daripada ajaran Islam.

Imej gerakan dakwah islah Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab itu menjadi lebih buruk apabila para pendukung bid’ah dengan niat yang jahat sengaja mengaitkannya dengan faktor kejatuhan kerajaan ‘Uthmaniyyah Turki (akan dijelaskan dalam perbincangan Tohmahan 7, insyaAllah). Manakala pada hari ini, terutamanya selepas peristiwa 11 September, istilah wahabiyyah digunakan secara negatif pula oleh media-media barat bagi menggambarkan para pendukung Sunnah yang berpegang teguh dengan ajaran Islam sebagai fundamentalis, ekstrimis, pengganas dan militan agama. Apa yang menyedihkan persepsi negatif barat ini diterima pakai oleh umat Islam sendiri sehingga mereka turut memerhatikan saudara seislam mereka melalui kaca mata barat. Wala Haula Wala Quwwata Illa Billah.
____________________
[1] Dinukil dan diubahsuai oleh penyusun daripada buku Siapakah Ahli Sunnah Yang Sebenar oleh Dr Azwira Abdul Aziz, Syarikat Jahabersa, Johor, ms. 103-130.
[2] Al-Qaradhawi, Yusuf Al-Qaradhawi, Fiqh al-Alawiyyat, maktabah Wahbah, Kahera, 1996, hal. 263.
[3] Ulama masyhur dari Syria yang mengarang kitab Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuh, sudah diterjemah atas judul Fiqh dan Perundangan Islam dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
[4] Wahbah Az-Zuhailiyy, Ta’aththur Ad-Dakwah Al-Islamiyyah Bi Dakwah Ash-Sheikh Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab. Dalam : Said Al-Fawaid, atas talian: http://saaid.net/pfv.php..
[5] As-Saffat : 180-182
[6] Abd Allah Ibn Muslim Ibn Qutaibah, Gharib Al-Hadith, Tahqiq: ‘Abd Allah Al-Jaburi, Matba’ah Al-’Ani, Baghdad, Iraq, 1397H, 1: 558
[7] Al-Anbiya’, 21: 28.
[8] Al-Baqarah, 2: 255
[9] An-Najm, 53: 26
[10] Al-Muddaththir, 74: 48
[11] Muhammad Ibn Mukrim Ibn Manzur, Lisan Al-’Arab, Dar Sadir, Beirut, Lubnan, t.th, 12: 358.
[12] Al-Hasyr, 59: 10.
[13] Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab, Muallafat Sheikh Al-Imam Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab, Tahqiq: ‘Abd Al-’Aziz Zaid Ar-Rumi, Muhammad Baltaji, Sayyid Hijab, Jami’ah Al-Imam Ibn Sa’ud, Riyadh, Arab Saudi, t.th, 5: 8-11.
[14] ‘Abd Ar-Rahman Ar-Ruwaishid, Al-Wahhabiyah: Harakah Al-Fikr Wa Ad-Daulah, hal: 10-11, dipetik daripada Prof. Nasir Ibn ‘Abd Al-Karim Al-‘Aql, Islamiyyah La Wahhabiyyah, Dar Kunuz Isybiliya, Riyadh, Arab Saudi, 2004, hal: 33
[15] Muhammad Ibn Manzur An-Nu’mani, Di’ayat Mukaththafah Did Syeikh Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab, Majalah Al-Muqtataf, vol: 27, Hal: 295, Dalam: ‘Abd Al-’Aziz Ibn Muhammad Ibn ‘Ali Al-’Abd Al-Latif, Da’awa Al-Munawi’in Li Dawah Asy-Syeikh Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab ‘Ard Wa Naqd, Dar Taibah, Riyadh, Arab Saudi, 1989, Hal: 240.
[16] Uthman Al-Muhammadi, Fahaman Wahhabi Menular, Utusan Malaysia, 26 Nov. 2005
[17] Mustafa Abdul Rahman, Wahhabi Jejaskan Perpaduan Umat Islam, Utusan Malaysia, 27 Nov. 2005.
[18] Mohd. Shauki Abd Majid, Siapa Wahhabi Sebenar?, Utusan Malaysia, 4 Dis. 2005
[19] Beliau yang dimaksudkan ialah Muhammad Uthman Al-Muhammadi
[20] Muhammad Uthman Al-Muhammadi, Tauhid Menentang Syirik Dalam Fahaman Dan Amalan, Himpunan Kertas Kerja Isu Dan Proses Pembukaan Minda Umat Melayu Islam, Dewan Bahasa Dan Pustaka, 2002, Hal: 215.
[21] Prof. Nasir Ibn ‘Abd Al-Karim Al-’Aql, Islamiyyah La Wahhabiyyah, Dar Kunuz Isybiliya, Riyadh, Arab Saudi, 2004, Hal: 47.
[22] Haji Mustafa Abdul Rahman, Haji Abdul Hamid Yunus, Haji Zaaba Yusof, Abdul Aziz Jusoh dan Abdul Roni Tahir, Mengenal Ajaran Sesat Di Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Kuala Lumpur, 2000, Hal: 9-10.
[23] Muhammad ibn Sa’ad Ash-Shuwai’ir, Tashih Khata’ Tarikhi Haula Al-Wahhabiyyah, 1413H, Hal: 4, Dalam Prof. Nasir Ibn ‘Abd Al-Karim Al-’Aql, Islamiyyah La Wahhabiyyah, Dar Kunuz Isybiliya, Riyadh, Arab Saudi, 2004, Hal: 36.

Dari www.wahabiah.blogspot.com

Sunday, September 7, 2008

iktikad IMAM ABU HASAN AL-ASY'ARI didalam Al-Ibanah an-Usul ad-Dianah


by DERMAWAR SALAFI

BERPEGANG TEGUH DENGAN SALAFI

Imam Abul Hasan al-Asy’ari berkata:

"Di atas langit-langit itulah ‘Arasy, maka tatkala ‘Arasy berada di atas langit-langit Allah berfirman: Apakah kamu merasa aman terhadap Zat yang berada di atas langit? Sesungguhnya Ia istiwa (bersemayam) di atas ‘Arasy yang berada di atas langit dan tiap-tiap yang tinggi itu dinamakan As-Sama (langit), maka ‘Arasy berada di atas langit. Bukanlah yang dimaksudkan di dalam firman: Apakah kamu merasa aman terhadap Zat yang berada di atas langit? Bukan di seluruh langit, tetapi ‘ArasyNya yang berada di atas langit."[1]

Beliau rahimahullah seterusnya berkata:

Sesungguhnya setelah seseorang bertanya: Apa yang kamu katakan berkenaan istiwa? Katakan kepadanya: Kami sesungguhnya berkata bahawa Allah ‘Azza wa-Jalla bersemayam di atas ‘ArasyNya yang sesuai denganNya sebagaimana firman Allah: }Ar-Rahman (Allah) bersemayam di atas ‘ArasyNya{ Taha. 5. Firmannya lagi: }KepadaNyalah naik perkataan-perkataan yang baik{ Fatir. 10. Firman Allah: }Tetapi (yang sebenarnya) Allah telah mengangkat Isa kepadaNya{ An-Nisa. 158. Firman Allah: }Dia mengatur urusan dari langit ke bumi, kemudian (urusan) itu naik kepadaNya{ As-Sajadah. 5. Firman Allah: }Apakah kamu merasa aman terhadap Allah yang di langit bahawa dia akan menjungkir- balikkan bumi bersama kamu{ Al-Mulk. 16. Maka langit di atasnya adalah ‘Arasy, maka apabila ‘Arasy di atas langit-langit maka Allah berfirman: }Apakah kamu merasa aman terhadap Allah yang di langit{ kerana Allah beristiwa di atas ‘Arasy di atas langit….Dan kita lihat sekalian orang-orang Islam mengangkat tangan mereka menghadap langit apabila berdoa kerana Allah Azza wa-Jalla beristiwa di atas ‘Arasy yang berada di atas langit-langit, jika sekiranya Allah Azza wa-Jalla di atas ‘ArasyNya pasti mereka tidak mengangkat tangan mereka menghadap langit (menghadap ‘Arasy)”.
Lihat:
الابانة عن اصول الديانة oleh Imam Abu Hasan Al-Asy’ari. Hlm. 97-98. Lihat: الأسماء والصفات oleh Al-Baihaqi. Lihat: التوحيد وصفات الرب oleh Al-Imam Ibn Khuzaimah. Lihat: العلو لعلي الغفار oleh Az-Zahabi.

Imam Abu Hasan al-Asy’ari seterusnya menegaskan:

“Telah berkata orang-orang dari golongan Muktazilah, Jahmiyah dan al-Hururiyah: Sesungguhnya firman Allah (Allah bersemayam di atas ‘ArasyNya) mereka berkata Istaula (bukan istiwa) dan Allah Azza wa-Jalla disetiap tempat (
فى كل مكان), mereka menentang bahawa Allah Azza wa-Jalla di atas ‘ArasyNya”.
Lihat:
الابانة عن أصول الديانة hlm. 97.

Imam Abu Al-Asy’ari menjelaskan melalui hadis:
“Dari Nafi’ bin Jabir dari bapanya sesungguhnya Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Turun Tuhan kami ‘Azza wa-Jalla setiap malam ke langit dunia, lalu berfirman: Adakah sesiapa yang meminta maka Aku akan memberinya, adakah sesiapa yang meminta pengampunan maka Aku akan mengampunkannya, sehinggalah terbit fajar”.
Lihat: Al-Ibanah an-Usul ad-Dianah. Hlm. 99 – 100.

Beliau menjelaskan lagi:

“Sebagaimana telah dipastikan bahawa Allah Azza wa-Jalla beristiwa di atas ‘ArasyNya dan menolak semua yang bertentangan dengannya, sebagaimana yang disalin dari Ahli Rawi dari Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam: Diriwayatkan dari Nafi’ bin Jabir dari bapanya bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Tuhan kita ‘Azza wa-Jalla turun pada setiap malam ke langit dunia kemudian berfirman: Adakah sesiapa yang meminta Aku akan memberinya, Adakah sesiapa yang meminta ampun Aku akan mengampunkannya sehinggalah terbitnya fajar”.
Lihat: Al-Ibanah an-Usul ad-Dianah, hlm. 99. Dikeluarkan oleh Ad-Darimi, Ibn Majah 1367. Ibnu Khuzaimah dalam “At-Tauhid” 87. Ahmad 4/16. Al-Ajiri dalam “As-Syariah” 310-311. Isnadnya sahih, rijalnya thiqah dan perawinya termasuk perawi Bukhari dan Muslim.

Seterusnya Imam Abu Hasan al-Asy’ari menekankan:

“Allah ‘Azza wa-Jalla berfiman: } Mereka takut kepada Tuhan mereka yang di atas (langit) mereka dan melaksanakan apa yang diperintahkan (kepada mereka){ An-Nahl 50. Dan Allah berfirman: }Kemudian Dia menuju langit dan langit itu masih merupakan asap{ Fussilat. 11. Dan Allah berfirman: }Kemudian Dia bersemayam di atas ‘ArasyNya, (Dialah) Yang Maha Pemurah, maka tanyakanlah (tentang Allah) kepada yang lebih mengetahui (Muhammad) tentang Dia{ Al-Furqan 59. Dan Allah berfirman: }Kemudian Dia bersemayam di atas ‘Arasy. Tidak ada bagi kamu selain daripadaNya seseorang penolongpun dan tidak (pula) seorang pemberi syafaat. Maka apakah kamu tidak memperhatikan?{ As-Sajadah 4. Maka semua ayat-ayat tersebut menunjukkan bahawasanya Allah Ta’ala di langit beristiwa di atas ‘ArasyNya. Dan langit menurut kesepakatan manusia bukanlah bumi. Maka telah menunjukkan bahawa Allah Ta’ala menyendiri dengan kewahdaniatanNya beristiwa di atas ‘Arsay dengan istiwa yang sesuai dengan kebesaranNya tanpa berhulul (menyerap) dan berittihad (bersatu)”.
Lihat: Al-Ibanah an-Usul ad-Dianah. Hlm 100.
[1]. Lihat: Al-Ibanah an-Usul ad-Dianah. Hlm. 48.

http://www.jihadsalafi.blogspot.com/